Sunday, November 6, 2011

Titik Akhir dan Mula

Setelah lama bercuti semester, keputusan peperiksaan yang dinanti pun telah diumumkan. Hati ini telah meredai apa yang jua keputusan yang dapat. Kegelisahan semua pelajar UiTM dapat dilihat di " Wall Facebook " masing-masing. Pelbagai perasaan diluahkan. Masa menunggu keputusan untuk diumumkan pada e-mail masing-masing kian semakin panjang. Solat hajat dan doa hanya mampu dilakukan untuk berharap keputusan yang bakal diterima kelak akan mengembirakan hati diri sendiri dan kedua-dua ibubapa.

Ungkapan Alhamdulillah dilaungkan, sujud syukur dilakukan bagi mensyukuri kejayaan yang telah diberikan kepada diri ini yang sentiasa berharap. Melihat slip keputusan yang terpapar di skrin laptop telah melegakan diri yang sebelumnya gelisah dan resah.

Pelbagai reaksi pelajar UiTM terpancar di " Wall Facebook ". Ada yang kecewa, gembira, riang, hampa dan teruja dengan keputusan yang diterima oleh rakan sepejuangan -membandingkan GPA sesama rakan dan teman. Anugerah Dekan atau " Dean List " sering dijadikan pengukur kejayaan untuk keputusan yang telah keluar.

Dalam pelbagai reaksi yang ditunjukkan yang kian melekakan diri sendiri, ada terlahirnya azam dan matlamat untuk terus berjaya dan menebus kecewa yang diterima dari keputusan yang lalu. Kesilapan yang telah dilakukan dikenang untuk membina satu motivasi untuk mencipta suatu kejayaan pada masa hadapan.

Kejayaan kita sekarang belum menentukan kejayaan kita pada masa hadapan.
Kegagalan kita sekarang tidak bermakna kita gagal selama-lamanya.
USAHA ialah kunci untuk kejayaan. Tanpa usaha tiada kejayaan untuk dimiliki.

Mari kawan, teman, dan rakan sepejuangan, kita mengambil iktibar apa yang telah berlaku. What's done is done.
Mari kita memulakan buku yang baru untuk mengharungi semester yang akan datang ini.
Mari kita berusaha untuk mencipta kejayaan kita pada semester depan dan masa-masa yang akan datang.

Wednesday, November 2, 2011

Belajar...

Belajar itu suatu ibadah. Di mana letaknya keindahan ibadah belajar? Di buku yang dibaca ataupun pada mata pensel yang menulis nota? Belajar itu sesuatu yang indah apabila dikenang. Tetapi apa yang membuatkan belajar itu indah? Jawapannya agak senang untuk dikatakan tetapi sukar untuk dilakukan iaitu usaha kita mempelajari sesuatu ilmu. Bertambah kuat dan tekun usaha kita belajar, bertambah indah ibadah kita itu. Dalam kita berusaha menuntut sesuatu ilmu itu kita tidak boleh sesekali berputus asa.

Hadis Rasulullah saw :

"Janganlah engkau berputus asa kerana putus asa itu bukanlah akhlak seorang muslim. Ketahuilah bahawa kenyataan hari ini adalah mimpi hari kelmarin dan impian hari ini adalah kenyataan hari esok."
- (Imam Hassan Al-Bana)-

Dalam pengakhiran setiap pembelajaran itu, pasti ada orang berjaya dan ada orang yang tidak berjaya. Berjaya dan gagalnya seseorang itu telah ditakdirkan oeh Allah swt tetapi kita tidak tahu takdir kita pada masa depan. Oleh sebab itu, kita perlu berusaha dengan bersungguh-sungguh dan bertawakal serta berdoa kepada Allah swt. Kejayaan yang kita inginkan ialah kejayaan yang diredai oleh Allah swt. Kejayaan yang tidak diredai oleh Allah swt itu adalah ujian kepada kita. Gagalnya kita pada sesuatu tidak bermaksud kita ini tidak berguna, tidak berdaya untuk melakukan apa-apa atau berada jauh dengan Allah swt, tetapi kita diberikan peluang untuk membaiki diri sendiri dan yang paling penting sekali mendekatkan diri dengan Tuhan yang Maha Esa.

Lakukan sesuatu ibadah itu kerana Allah swt, sesungguhnya setiap amal bermula dengan niat. Dan tiada amal tanpa ilmu. Tiada istilah amal takliq dalam kamus kehidupan seorang muslim. Oleh sebab itu juga, kita harus melengkapkan diri kita dengan ilmu yang wajib iaitu ilmu yang berkaitan dengan ibadah dan ilmu fardu ain.